Adik Hamid Kazrai Tali Barut USA
WASHINGTON 28 Okt. - Adik lelaki kepada Presiden Afghanistan, Hamid Karzai menerima bayaran daripada Agensi Perisikan Pusat (CIA) untuk pelbagai jenis perkhidmatan bagi tempoh lapan tahun lalu.
Agensi pengintipan Amerika Syarikat (AS) itu mengupah Ahmed Wali Karzai untuk perkhidmatan seperti menyediakan rekrut untuk pasukan separa tentera Afghan yang beroperasi atas arahan CIA di sekitar bandar kelahirannya di Kandahar, yang juga kubu kuat Taliban, lapor akhbar New York Times semalam.
Beliau juga membantu orang hubungan CIA dan kadang-kadang menemui para pengikut Taliban.
Ahmed Wali yang disyaki ada hubungan dengan kegiatan pengedaran candu di Afghanistan menjalinkan perhubungan ‘meluas’ dengan CIA, lapor Times yang memetik kenyataan pegawai AS.
Selain membantu CIA mengendalikan pasukan separa tentera yang dikenali sebagai Pasukan Penyerang Kandahar, Ahmed Wali juga menerima bayaran kerana membenarkan ejen CIA dan pasukan Operasi Khas AS menyewa sebuah pekarangan besar di luar Kandahar yang pernah menjadi kediaman pengasas Taliban, Mullah Omar.
“Dialah tuan rumah kami,” kata seorang pegawai kanan AS kepada Times.
CIA enggan mengulas tentang laporan itu apabila dihubungi oleh AFP.
Ahmed Wali menafikan menerima bayaran daripada CIA atau terlibat dalam kegiatan pengedaran candu yang membantu membiayai pemberontakan Taliban.
“Saya tidak kenal sesiapa dalam CIA, saya tidak pernah menerima wang daripada mana-mana organisasi.
“Saya tentunya cuba membantu rakyat Amerika yang lain seberapa yang boleh. Ini kewajipan saya sebagai warga Afghan,” kata Ahmed Wali kepada Times.
Bagaimanapun beberapa pegawai AS berpendapat, pergantungan kepada Ahmed Wali menjejaskan usaha Washington untuk membantu membangunkan sebuah kerajaan yang berkesan, boleh diharap dan mampu berdikari di Kabul.
“Jika kita mahu menjalankan strategi yang mengutamakan rakyat di Afghanistan tetapi kita dilihat menyokong samseng, kita sebenarnya menjejaskan usaha kita sendiri,” kata pegawai tinggi perisikan tentera AS di Kabul, Mejar Jeneral Michael Flynn . - AFP