keharmonian rumahtangga - mencari titik pertemuan
Semasa remaja, saya pernah terbaca kisah sepasang suami isteri yang hidup aman damai walaupun sentiasa dihimpit kesulitan. Bagaimana pasangan yang hidupnya ‘kais pagi makan pagi’ boleh bahagia? Tidakkah kemewahan kunci kebahagiaan?
Setiap pagi sebelum suami melangkah bendul untuk pergi bekerja, isterinya tidak pernah lupa mencium tangan suami. Ketika suami menurun tangga, pandangan isteri tidak terlepas mengikuti setiap langkah sehingga suaminya hilang dari pandangan. Sebelum membelok ke jalan besar, suami pula menoleh kebelakang dan melihat isterinya masih tercegat di muka pintu.
Walaupun tiada kata terucap antara suami dan isteri, tapi di sudut hati tersimpul sebuah ikatan kasih yang kudus.
Eleh, itu kan zaman dulu. Masa tu mana ada televisyen, kereta dan telefon bimbit. Lampu letrik pun tak ada. Jamsembilan dah masuk kelambu.
Sebenarnya, zaman bukan penghakis kemesraan. Yang menjadi punca kerapuhan rumahtangga ialah sikap pasangan itu sendiri. Ramai menganggap nilai murni sebegitu sudah lapuk, sudah tidak sesuai di era serba canggih. Hari ini, berapa ramai suami isteri yang mengamalkan sikap mithali seperti di atas?
Hari ini ada isteri yang menjadi suri rumah sepenuh masa masih berselimut ketika suami membuka pintu untuk pergi bekerja. Maka pergilah suami ketempat kerja dengan perut kosong dan perasaan yang tandus. Sekali dua pohon kasih tidak tersiram tak mengapa. Kalau tiap hari, bukan sahaja daun-daunnya akan kuning dan kering, tapi ranting , dahan dan akar akan reput menunggu masa untuk rebah menyembah tanah.
Ayuh para isteri dan suami, jangan biarkan ikatan kalian longgar dan terlerai. Hayati erti “bainati jannati” atau rumah ku syurga ku. Bukan sukar untuk hidup harmoni dalam sebuah rumahtangga kalau ia dibina bertiangkan cinta, berdinding kasih berbumbung sayang.
Muali saat ini, amalkan yang berikut
- Kalau isteri suri rumah sepenuh masa, lakukan apa yang diceritakan di atas. Sebelum melepaskan suami bekerja, jangan lupa mencium tangan suami dan suami pula membalas dengan mencium kedua-dua belah pipi isteri. Iringi hingga ke muka pintu
- Kalau kedua-duanya bekerja dan masa bekerja tidak sama, jangan dijadikan itu sebagai penghalang untukmengamalkan yang di atas
- Elak bernada tinggi ketika bertutur dengan suami. Ketinggian ego lelaki akan runtuh bila berhadapan dengan isteri yang lembut
- Jangan dedahkan kekurangan pasangan kepada orang lain. Bukan sahaja ia menjatuhkan maruah teman hidup anda tapi ia juga merendahkan martabat anda sebagai suami/isteri
- Dihujung minggu atau dipetang hari, majoriti suami berlagak seperti raja. Duduk bersilang kaki membaca akhbar atau menonton TV sedangkan isteri bertungkus lumus di dapur menyiapkan makanan. Sedarlah, isteri anda bukan robot yang tak tahu penat. Bantulah dia
- Perempuan kaum yang lemah yang sama jenis dengan ibu anda. Bagaimana anda menghormati ibu dengan tidak menyakiti hati dan jasadnya, begitulah juga yang mesti dilakukan terhadap isteri. Jangan sekali-kali pukul dia. Itu dayus namanya
- Usah diamalkan tabiat suka mencari kelemahan dan kesilapan pasanangan. Muhasabah dan carilah kekurangan dan kesalahan sendiri
- Jangan anggap “love doesn’t have to say I am sorry” tu betul. Kalau terkasar bahasa yang boleh menyinggung perasaan pasangan, cepat-cepat minta maaf
- Kasih sayang perlu dilahirkan. Pernahkah anda berpimpin tangan ketika berjalan. Kalau belum, cuba amalkan. Ia adalah rencah kemesraan
Itu cuma sedikit dari longgokan petua yang dikutip sepanjang jalan kehidupan. Kalau dimuatkan semua diruangan ini, takut nantinya anda bosan membaca.
Akan bersambung